DEVAN BELUM MAHU MENGALAH


KUALA LUMPUR, (D5) - Pengendali Selangor, K. Devan menyeru anak buahnya untuk bangkit pada saingan Piala Malaysia meskipun hampa selepas gagal mempertahankan  kejuaraan Liga Super serta terpaksa akur menamatkan musim ini di tempat ketiga.
Keputusan seri 0-0 menentang Perak semalam nyata melenyapkan harapan Selangor untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara namun Devan tetap positif pemainnya  akan bangkit untuk menebus kekecewaan dalam Liga Super.
"Saya akui saingan musim ini sangat sukar dan ia nyata menghalang sasaran kami. Justeru itu, saya harap saingan Piala M'sia mampu menjadi medan buat pemain  menebus kekecewaan mereka," kata Devan.
Pihak pengurusan S'gor sebelum ini meletak sasaran untuk memenangi kesemua empat piala yang ditawar dalam saingan Liga M'sia musim ini namun cita-cita mereka  malap selepas dimalukan dua kali Kelantan dalam perlawanan Piala Sumbangsih dan Piala FA.
Devan menyedari saingan musim ini sangat sukar dan berbeza sama sekali dengan musim lalu, justeru itu Devan berharap kejayaan Piala M'sia nanti dapat  mengubat kekecewaan mereka selepas gagal meraih sebarang trofi musim ini.
Kejuaraan Liga Super 2011 menjadi milik Kelantan selepas berjaya membenam Sabah 2-1 di Stadium Likas manakala Terengganu pula ditabal naib juara dan diikuti  pula dengan Selangor di tangga ketiga.